Kisah Kentut Yang Seram (The Creepy Fart Story)
The story below is written in Bahasa Melayu and it is my second post in that language. The first one is here. The story is adapted from a true account of an incident happened to a friend of mine in Putrajaya, two years ago. And because I have no intention whatsoever in protecting the innocence, I am letting you know that friend of mine is Bani!
Pada suatu hari, Bani sedang berjalan dengan pantas menuju ke pejabatnya. Pada waktu itu jam telah menunjukkan pukul 7.30malam. Sepanjang hari itu Bani telah mengular melakukan kerja-kerja luar pejabat dan apabila hari sudah malam barulah dia tergedik-gedik mahu menyiapkan garis tarikh dateline yang ada. Oh sungguh tidak berdisiplin Bani itu.
Keadaan di luar bangunan amat gelap sekali. Hujan renyai-renyai mulai turun membasahi bumi. Angin pula bertiup kencang menyebabkan Bani berpeluk tubuh kesejukan. Tiba-tiba Bani teringat kisah-kisah seram yang dialami oleh rakan-rakan sekerjanya. Kata mereka, di bangunan ini ada seekor Pontianak yang sering menganggu jejaka-jejaka yang tampan. Selama ini Bani memang tidak penah diganggu kerana dia memang sedikit pun tidak tampan. ( Tapi manisnya ada). Di Tingkat 4 juga ada seekor hantu. Akan tetapi hantu itu tidak dapat dihalau dengan bacaan suci Al-Quran. Sebaliknya, ia hanya boleh dihalau dengan memecat bapa mertuanya saja. Oh sungguh menakutkan sekali hantu itu! Apa tidaknya, aweknya juga dikatakan Pontianak Harum Sundal Malam.
Semasa Bani sedang berdiri di lobi bangunan sambil menunggu ketibaan lif, tiba-tiba Bani terasa seram-seram sejuk. Kedengaran deru angin yang menyayat hati dari luar tidak berhenti-henti. Bani pun memandang ke kiri dan kekanan. Alangkah anehnya tiada seorang pun manusia yang berada di lobi ketika itu. Sebenarnya tiada apa yang aneh kerana pekerja kerajaan memang sering balik awal.
Tak guna punya lif, kata beliau, cepatlah sikit! Entah mengapa lif dari tingkat atas lambat benar turun ke tingkat bawah. Bani berasa bulu roma ditengkuknya mulai berdiri tegak. Adakah kerana di bangunan Jabatan Perdana Menteri bulu roma Bani ingin menunjukkan ertikata patriotisma dengan menyanyikan lagu Negaraku? Tiba-tiba Bani terdengar suara wanita berbisik-bisik. Dengan pantas Bani berpaling ke belakang! Alangkah leganya hati Bani apabila melihat beberapa orang perkerja pejabat menuju kearahnya. Sekurang-kurangnya ada juga orang untuk menemaniku didalam lif, kata Bani didalam hati.
Akhirnya lif yang ditunggu-tunggu tiba jua. Dengan hati yang lapang Bani pun melangkah masuk dan diikuti oleh rombongan Cik Kiah tadi. Bani menekan butang 3 dan terus berdiri di hadapan pintu lif. Tiba-tiba Bani dilanda satu permasalahan lagi. Beliau ingin terkentut. Perkara ini memang tidak dapat dielakkan kerana Bani memang sering terkentut apabila cuaca sejuk. Bayangkanlah keserangsaraan teman wanita beliau semasa keluar menonton wayang di TGV KLCC yang suhunya dibawah paras beku itu. (Sekarang Bani tiada teman wanita, siapa berminat sila tinggalkan nombor talipon)
Terpaksalah Bani berdiri terkepit-kepit sementara menunggu rombongan Cik Kiah keluar di tingkat 2. Beliau tidak berani melepaskan angin secara curi-curi kerana natijahnya mungkin akan menyebabkan kemuntahan darah dikalangan ahli rombongan Cik Kiah. Maka Bani harus menunggu… dan menunggu… aahh.. lif cabuk itu bergerak amat perlahan sekali…
Akhirnya rombongan Cik Kiah keluar juga di tingkat 2. Bani tersenyum lebar. Dengan kiraan satu dua tiga; sebaik saja pintu lif tertutup semula; Bani pun melepaskan bom nya… Prroooottt!! Ah leganyaa, kata Bani dengan kuat. Maklumlah hanya beliau seorang didalam lif itu.
Tiba-tiba kedengaran suara wanita sayup-sayup ketawa. Jantung Bani berhenti berdegup. Pontianak ada dalam lif inikah? Wajah Bani serta-merta pucat bagai disalut tepung gomak.Dengan perasaan cemas yang menyesakkan dada, perlahan-lahan Bani memberanikan diri untuk memalingkan mukanya ke belakang….. dan….
Jeng jeng jeng….
SEORANG GADIS ROMBONGAN CIK KIAH MASIH BELUM KELUAR DARI LIF!!!
Kedua-dua tangan gadis itu ditekup ke muka. Beliau sedang berusaha bersungguh-sungguh menahan ketawa dan sekaligus menyelamatkan dirinya daripada keracunan gas beracun. Bani berasa ingin pengsan. Sebaiknya dia tiba di pejabat, dia terus menulis surat meletak jawatan.
Begitulah kisah kentut yang seram daripada saya.
Sekian terima kasih.
Like





